Panduan Membeli Kenderaan Baru

Panduan Membeli Kenderaan Baru

by Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna

Semua orang ingin memiliki kenderaan sendiri. Bergantung kepada kemampuan kewangan sendiri sama ada membeli kenderaan baru atau terpakai. Biarpun membeli kenderaan baru menyeronokkan bukan sahaja dapat menikmati pemanduan secara selesa dan menyenangkan, tetapi jika tidak berhati-hati, kenderaan yang baru dibeli itu akan menimbulkan masalah.
1.Ketika membuat tempahan
  • Tempahan hendaklah dibuat dengan menggunakan cek atau bank deraf. Bayaran tunai tidak digalakkan.
  • Pastikan setiap bayaran yang dibuat diberikan resit rasmi syarikat serta merta sebagai mengakui penerimaan bayaran.
  • Pastikan borang tempahan diisi dengan betul seperti maklumat peribadi, maklumat pinjaman dan maklumat kenderaan.
  • Satu salinan yang lengkap dan ditandatangani hendaklah disimpan oleh pembeli.
  • Pembeli hendaklah membaca dan memahami keseluruhan terma dan syarat yang terkandung dalam borang tempahan.
2.Membuat pinjaman
Ketika memohon pinjaman, serahkan dokumen-dokumen berikut :
  • Salinan borang tempahan rasmi syarikat pengedar.
  • Salinan fotokopi kad pengenalan yang dicatatkan perkataan 'untuk tujuan pinjaman dengan syarikat kewangan' bagi mengelakkan penyalahgunaan salinan tersebut.
  • Salinan fotokopi lesen memandu atau sekeping gambar.
  • Slip gaji terbaru bagi tempoh tiga bulan.
  • Penyata akaun simpanan/semasa/tetap
  • Borang cukai pendapatan.
  • Borang EA.
  • Surat perlantikan tawaran kerja.
  • Borang 9, 24, 49 M & A, resolusi syarikat (jika pembelian oleh syarikat).
Apabila pinjaman telah diluluskan, sila ambil tindakan berikut :
  • Hubungi syarikat kewangan dan sahkan syarat-syarat kelulusan pinjaman seperti dicatatkan dalam surat jaminan seperti jumlah pinjaman, tempoh bayaran, kadar faedah dan jenis atau model kenderaan.
  • Semua dokumen mengenai perjanjian pinjaman ditandatangani di syarikat kewangan.
  • Tidak ada bayaran dikenakan bagi pengendalian proses pinjaman kenderaan.
Pendaftaran Kenderaan
  • Pendaftaran kenderaan hanya boleh dibuat sekiranya :
  • Bayaran penuh harga kenderaan telah dibuat (bagi pembelian tanpa pinjaman).
  • Surat Akujanji dari syarikat kewangan dikeluarkan dan bayaran muka telah dijelaskan sepenuhnya.
Untuk tujuan pendaftaran, kemukakan dokumen-dokumen berikut di Jabatan Pengangkutan Jalan :
  • Salinan fotokopi kad pengenalan pembeli yang disahkan (dicatatkan perkataan ' untuk tujuan pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan sahaja'.
  • 2 salinan JPJ K1 yang telah lengkap diisi dan ditandatangani oleh pembeli.
  • Borang pelepasan tanggungan JPJ yang lengkap diisi dan ditandatangani oleh pembeli dan juga ditandatangani oleh seorang saksi.
  • Surat jualan dari syarikat pengedar.
  • Dokumen perlindungan insurans yang berkuatkuasa yang diisi penuh dengan butir-butir pembeli dan kenderaan.
  • Surat tuntutan hak milik dari syarikat kewangan.
  • Resit tender nombor pendaftaran (jika ada).
  • Untuk mendapatkan pendaftaran segera, pembeli perlu hadir di Jabatan Pengangkutan Jalan.
  • Bayaran pendaftaran kereta, cukai jalan dan tuntutan hak milik termasuk dalam harga kenderaan yang diisytiharkan.
  • Bayaran tambahan dikenakan bagi kes-kes seperti :
  • Penukaran nombor pendaftaran yang melibatkan pengekalan nombor pendaftaran lama kepada kereta baru.
3.Semasa penyerahan kenderaan
Apabila menerima kenderaan baru, sila pastikan :
  • Kereta tersebut sempurna dan memuaskan.
  • Perkakas dan aksesori lengkap dibekalkan.
  • Buku jaminan diisi dan dicop dengan cop syarikat wakil pengedar dan ditandatangani oleh pembeli.
  • Borang penyerahan rasmi syarikat pengedar kereta hendaklah ditandatangani oleh pembeli dan wakil syarikat pengedar dan satu salinan disimpan oleh pembeli.
Sumber Dari KPDN & HEP


Read more!
span.fullpost {display:none;}

Outlook Express

 Cara Menyediakan emel Pada Outlook Express
Akaun TmNet


  • Langkah pertama klik pada Outlook Express.
  • Kemudian klik pada Tools kemudian klik pada butang Account.
  • Langkah seterusnya klik pada butang Add dan klik pada butang Mail.
  • Disply name akan dipaparkan, sila letak nama anda pada kotak kosong tersebut.
  • Kemudian sila letak email anda (contohnya: john@tm.net.my)pada kotak E-mail Address dan klik butang next.
  • Selepas itu Incoming mail dipaparkan, sila letakkan  pop.tm.net.my  pada kotak tersebut sekiranya anda menggunakan akaun TmNet dan smtp.tm.net.my pada kotak Outgoing mail dan klik butang next.
  • Sila letakkan  username (seperti yang telah didaftarkan sewaktu memohon akaun internet) pada kotak Account name dan password pada kotak Password dan klik next.
  • Akhir sekali klik butang Finish.
Akaun Jaring

  • Langkah pertama klik pada Outlook Express.
  • Kemudian klik pada Tools kemudian klik pada butang Account.
  • Langkah seterusnya klik pada butang Add dan klik pada butang Mail.
  • Disply name akan dipaparkan, sila letak nama anda pada kotak kosong tersebut.
  • Kemudian sila letak email anda (contohnya: john@pd.jaring.my)pada kotak E-mail Address dan klik butang next.
  • Selepas itu Incoming mail dipaparkan, sila letakkan  mbox.jaring.my pada kotak tersebut sekiranya anda menggunakan akaun Jaring dan mbox.jaring.my pada kotak Outgoing mail dan klik butang next.
  • Sila letakkan  username (seperti yang telah didaftarkan sewaktu memohon akaun internet) pada kotak Account name dan password pada kotak Password dan klik butang next.
  • Akhir sekali klik butang Finish
Maka anda berjaya menyediakan akaun internet pada Outlook Express anda. Selamat mencuba!!!


Read more!
span.fullpost {display:none;}

Cerita Perkahwinan

10 Kisah Ceria Perkahwinan


  1.  Berkahwin umpama pergi ke restoran bersama rakan-rakan.  Anda memesan makanan, tetapi bila makanan dihidangkan, anda inginkan apa yang telah dipesan oleh orang lain.

  2. Di majlis koktel, seorang wanita bertanya kepada seorang lagi, “Bukankah salah jari cincin kahwin awak tu?”  Jawab wanita kedua, “Memang, kerana saya salah pilih lelaki yang saya kahwini.”

  3. Selepas satu perkelahian, si suami berkata kepada isterinya, “Kau tahu, aku seorang yang bodoh waktu mengahwini kau.”  Isterinya menjawab, “Benar sayang, tetapi ketika itu saya sedang dilamun cinta dan tak perasan.”

  4.  Seorang wanita menyiarkan iklan dalam akhbar: “Suami dikehendaki.”  Pada keesokan harinya, dia menerima seratus pucuk surat.  Kesemuanya membuat tawaran yang sama: “Awak boleh ambil suami saya.”

  5. Seorang budak lelaki bertanya ayahnya, “Ayah, berapakah belanjanya untuk berkahwin?”  Si ayah menjawab, “Ayah tak pasti, nak.  Bayaran  ayah masih belum langsai lagi.”

  6. Perkahwinan ialah khayalan yang berjaya mengatasi kepintaran.  Perkahwinan kedua ialah harapan yang berjaya mengatasi pengalaman.

  7.  Jika anda inginkan pasangan anda mendengar dan memberikan sepenuh perhatian terhadap setiap patah perkataan yang anda ucapkan, bercakaplah di dalam tidur.

  8. Lelaki pertama berkata dengan bangganya: “Isteri saya adalah malaikat!”  Lelaki kedua: “Awak bernasib baik, isteri saya masih hidup lagi.”

  9. Bagaimanakah cara menakutkan lelaki?  Dekatinya secara diam-diam dari belakang, kemudian lemparkan bunga rampai ke arahnya.

  10. Apakah yang menyebabkan lelaki memikat wanita tanpa tujuan untuk mengahwininya?  Sama seperti desakan yang membuatkan anjing mengejar kereta tanpa tujuan untuk memandunya.


Read more!
span.fullpost {display:none;}

Mengatasi Rendah Diri

Mengatasi Masalah Rendah Keyakinan Diri


Ramai orang mahu mengubah cara hidup mereka daripada kehidupan korporat atau organisasi yang tegar kepada satu gaya hidup di mana mereka melakukan apa yang mereka suka dan apa yang paling bermakna dalam hidup mereka pada ketika itu. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana mahu melakukannya.
Seorang wanita berkerjaya sering merasa sukar untuk menyesuaikan diri apabila mereka cuba beralih dari kehidupan berkerjaya kepada menjadi surirumah. Ia biasanya disertai dengan perasaan bersalah dan kemurungan. Wanita yang terpaksa berhenti kerja di luar rumah juga mengalami masalah rendah keyakinan diri. 
Keyakinan diri berkaitan dengan imej diri dan nilai diri. Masalah rendah keyakinan diri berlaku apabila seseorang itu berasa dirinya kurang upaya berbanding orang lain. Ini biasa berlaku di kalangan wanita yang baru menjadi suri rumah dan juga di kalangan wanita yang telah lama menjadi suri rumah. Menguruskan rumahtangga dan emosi selain daripada bergiat aktif secara fizikal ialah satu cara untuk memperbaiki keyakinan diri. 

Ramai wanita yang tidak sedar mengenai masalah keyakinan diri, seperti yang dijelaskan oleh Rachel, sehinggalah mereka berjumpa dengan wanita lain yang berada dalam situasi yang sama.

”Saya telah menceburi dunia korporat selama lebih daripada sepuluh tahun. Saya terpaksa berhenti akibat komplikasi semasa mengandung. Selepas melahirkan anak, saya mula mengalami kemurungan. Jika saya telah mendapatkan rawatan perubatan ketika itu, doktor tentu akan mendiagnosnya sebagai postpartum dan akan memberi pil penenang. Jauh di lubuk hati saya tahu bukan itu masalah sebenarnya, oleh itu saya hanya mendiamkan diri sahaja.

Apa yang saya tidak tahu ketika itu ialah saya sebenarnya sedang mengalami masalah rendah keyakinan diri. Daripada seorang yang dihormati dalam dunia korporat dan memperolehi pendapatan sendiri, saya kini hanyalah seorang suri rumah yang terpaksa bergantung kepada suami untuk kesemua perbelanjaan saya. Saya berhadapan dengan isu ini setiap hari, dan masalah ini semakin teruk apabila saya keletihan menjaga anak. Saya juga tidak mendapat sokongan emosi daripada suami dan keluarga.

Perkara yang paling mengusik perasaan ialah apabila saya sedang mengisi borang untuk mendapatkan kad keahlian sebuah gedung serbaneka. Saya mengisi kesemua soalan pada borang itu, dan apabila saya sampai ke kotak ‘Pekerjaan’, saya dengan sedih menulis, “Tiada”.

Selepas itu, saya pergi ke tandas dan menangis.

Tetapi seperti kata mereka, apabila anda jatuh hingga ke dasar, tiada tempat lain untuk anda pergi selain ke ‘atas’, kecuali jika anda memilih untuk terus berada di bawah.

Sejak daripada itu, kekusutan mental saya beransur-ansur menjadi lerai semula. Waktu tidur siang anak saya menjadi waktu untuk saya membaca buku-buku motivasi diri. Saya juga bernasib baik dapat menonton beberapa episod rancangan Oprah Winfrey yang membincangkan isu ‘Diri’. Saya menggunakan peluang itu untuk mengikuti seminar yang dianjurkan oleh Mothers for Mothers, di mana saya belajar bahawa menjadi seorang suri rumah ialah satu pilihan yang mulia dan saya masih boleh memperoleh pendapatan dari rumah.

Kemudian, kefahaman saya mengenai kemurungan yang sama alami mula menjadi jelas! Selama beberapa tahun saya telah mengidentitikan diri dengan sekeping kertas berukuran 9x5.5 cm – kad perniagaan saya. Nilai diri saya ketika itu didefinisikan melalui apa yang tertera pada kad itu. Apabila saya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa, saya tiada lagi kad untuk dibawa ke mana-mana. Saya telah kehilangan identiti.

Dalam fikiran saya, diri saya tidak lagi wujud. Saya telah menjadi seorang yang tidak penting, tidak diperlukan dan tidak menyumbang apa-apa.

Selepas seminar itu, saya sedar bahawa saya telah mencipta keseluruhan identiti saya berdasarkan kerjaya. Apabila semua itu berakhir, saya tidak mempunyai identiti lagi. Saya merasa kehilangan, kosong, tidak berguna.

Selama setahun saya berusaha keluar daripada kemurungan. Dalam tempoh itu saya cuba mencari kembali diri saya yang hilang dan cuba mengubatinya dari dalam. Saya belajar untuk lebih mengenali diri sendiri dengan melihat siapakah diri saya sebenarnya, berbanding dengan siapa saya fikir diri saya ini. Ini ialah satu proses yang sungguh menyakitkan dan saya banyak menangis. Saya berkabung atas kehilangan wanita yang saya kenali dahulu.

Kini saya telah berubah. Keutamaan dan definisi hidup saya telah berubah. Saya mungkin kekurangan dari segi kebendaan, tetapi saya merasa lebih kaya. Saya kini lebih sibuk, tetapi saya dapat mengawal hidup saya. Saya menghadapi lebih banyak cabaran tetapi saya rasa lebih tenang. Saya juga akhirnya membuat sesuatu yang menggembirakan diri saya – menulis!

Saya gembira, lebih-lebih lagi atas kehadiran anak yang saya besarkan dan didik dengan penuh kasih sayang. Saya sentiasa menganggapnya sebagai penggerak dalam usaha saya mengenal diri. Jika saya tidak mengalami kesukaran semasa mengandung, saya mungkin masih lagi mengejar matlamat dunia korporat sedangkan anak saya dijaga oleh pembantu rumah.

Saya memang seorang pengubah hidup. Saya percaya bahawa orang yang pertama kita harus ubah ialah diri kita sendiri. Perubahan besar tidak akan berlaku dalam sehari, tetapi saya dapat rasakan satu gegaran kecil yang menggerakkan diri saya. Dan ia akhirnya berlaku. Saya berjaya mengubah diri. Kita hanya perlu bersabar dan bersungguh-sungguh mahu menjalani hidup dengan cara yang kita fikir terbaik untuk kita, tanpa mengendahkan kata-kata nista yang memperkecil-kecilkan diri kita. Sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah, kita memerlukan cahaya yang dapat menunjukkan jalan supaya ia tidak kelihatan gelap dan menakutkan.

Saya kini seorang ibu sepenuh masa. Satu dunia baru menggamit saya.”


Read more!
span.fullpost {display:none;}